Pada 27 – 28 September 2016, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima kunjungan delegasi daripada Majlis Ketua Pustakawan (MKP) dan Malaysian Online E-Resources Consortium (MOLEC). Kedua-dua mesyuarat ini diadakan pada 27 September 2016 di mana mesyuarat MKP telah berlangsung pada jam 9.00 pagi dan mesyuarat MOLEC pada jam 2.30 petang bertempat di Bilik Mesyuarat 2, Bangunan Tambahan, PSB, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Mesyuarat MKP kali ini menemukan seramai 18 orang Ketua Pustakawan dan wakil jabatan yang terdiri daripada Timbalan Ketua Pustakawan dari seluruh universiti awam di Malaysia telah dipengerusikan oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan pelbagai isu semasa dan cadangan yang perlu diketengahkan sebagai langkah penambahbaikan dalam kerjasama antara semua universiti awam pada masa sekarang dan akan datang.
Perbincangan ini diteruskan pada jam 2.30 petang di Makmal Komputer 1 menerusi sesi bengkel pencapaian objektif MKP. Sementara itu, mesyuarat MOLEC pula berlangsung di Bilik Mesyuarat 2, Bangunan Tambahan PSB yang dipengerusikan oleh Puan Margaret Simeng, Ketua Pustakawan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Mesyuarat MOLEC ini bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan bahan bersiri dan elektronik yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada pustakawan seluruh Malaysia yang bertanggungjawab dalam perolehan, langganan dan pengurusan bahan tersebut yang mewakili institusi masing-masing.
Pada sebelah malamnya, semua delegasi MKP dan MOLEC dirai dengan majlis makan malam bertempat di Pool Side, EDC Hotel UUM pada jam 8.15 malam untuk beramah mesra serta menjalinkan hubungan dua hala yang erat diantara perpustakaan universiti awam.
Seterusnya pada 28 September 2016, program dimulakan dengan aktiviti Discover UUM bersempena dengan kehendak universiti untuk mempromosikan UUM sebagai Universiti di Rimba Hijau seiring dengan Tahun Melawat Kedah 2016. Mereka diberi taklimat mengenai UUM secara ringkas oleh pegawai bertugas di Anjung Tamu sebelum bergerak mengelilingi kampus dengan menaiki bas selama 30 minit. Antara tempat-tempat menarik yang dikunjungi adalah mengelilingi kawasan kampus yang menempatkan Pusat Ternakan Rusa, Akademi Golf Nasional, Pusat Penternakan Burung Unta, Varsity Mall dan lain-lain lagi. Mereka kelihatan teruja dan terpesona akan keindahan alam semulajadi di sekitar kampus serta mereka turut tidak ketinggalan untuk merakam beberapa foto kenang-kenangan.
Delegasi ini kemudian bertolak ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra untuk lawatan kerja di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP. Mereka disambut mesra oleh warga Perpustakaan UniMAP yang diketuai oleh Puan Hajah Mazmin Mat Akhir, Ketua Pustakawan UniMAP.
Pada jam 2.00 petang pula, semua delegasi bertolak ke Hub Digital, UniMAP Kampus UniCiti Alam, Sungai Chuchuh, Mukim Titi Tinggi, Padang Besar Utara, Perlis untuk lawatan kerja. Hub Digital merupakan platform terbaru UniMAP untuk mempamerkan pendekatan inovatif dalam menyuntik teknologi maklumat dalam aspek pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan untuk komuniti pelajar ataupun “Technical and Vocational Education and Training (TVET)”. Kemudian mereka dibawa ke pusat membeli belah yang terkenal di Perlis iaitu Padang Besar untuk membeli sedikit barangan dan buah tangan untuk dibawa pulang nanti.
Program berakhir sejurus mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Alor Setar untuk pulang ke destinasi masing-masing sekitar jam 7.00 malam. PSB, selaku tuan rumah berasa amat bertuah kerana berpeluang menerima kunjungan seramai 47 orang delegasi Universiti Awam dari seluruh Malaysia. Diharap mereka berasa terhibur dan berpuas hati dengan layanan mesra yang diberikan dan semoga berjumpa lagi.
Disediakan oleh: Noraini Alias |
Gambar oleh: Siti Nor Hajar Abdul Rahman, Mohamad Fuzi Ismail dan Mad Affrizi Ismail
Lihat Galeri MKP – gambar