Pada 10 Ogos 2017 yang lalu, satu bengkel “Merekabentuk Perpustakaan Universiti Masa Hadapan (Library 4.0 dan Industrial 4.0)” telah diadakan dengan jayanya. Bengkel ini bertempat di Bilik Jugra, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 4.30 petang. Ianya adalah anjuran bersama Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan PSAS, UPM.
Bengkel yang menghimpunkan semua ahli Majlis Ketua Pustakawan (MKP) ini telah dipengerusikan oleh En. Salleh Hudin Mustafa, Ketua Pustakawan,UUM juga merangkap pengerusi MKP. Topik utama yang dibincangkan adalah mengenai persiapan perpustakaan universiti di dalam era konvergens Industrial Revolution (IR) 4.0.
Pelbagai isu dan solusi telah dibincang serta diusulkan dengan harapan ianya dapat membawa Perpustakaan universiti di setiap Universiti Awam seiring relevan di era IR 4.0 ini. Hasil perbincangan ini adalah amat perlu dan penting untuk dimulakan dengan seberapa segera kerana, pengguna generasi hadapan adalah amat berbeza kehendak dan keperluannya berbanding masa kini. Oleh yang demikian, bengkel ini adalah amat berfaedah serta dapat membangunkan lebih banyak kolaborasi sesama Perpustakaan Universiti Awam untuk bersama-sama menghadapi segala tuntutan di era IR 4.0 ini.
Pada sebelah petang pula, bermula jam 2.15 petang, program ini diteruskan dengan sesi taklimat ringkas yang disampaikan secara santai oleh Ybhg Prof. Dr. Noor Azizi Ismail,Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Pada sesi ini, beliau telah berkongsi pengalaman beliau semasa lawatannya ke China baru-baru ini. Beliau turut berkongsi mengenai bagaimana kecanggihan ICT yang telah digunapakai di salah sebuah universiti di sana yang ternyata masih baharu lagi di Malaysia.
Bengkel sehari ini sememangnya amat bermakna kerana ianya adalah merupakan titik permulaan kepada kepelbagaian pelan dan tindakan dalam membangunkan Perpustakaan 4.0.
Lihat Galeri MKP – gambar