1.0 Latar Belakang
Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKP) merupakan platfom kerjasama antara semua 20 Ketua Pustakawan Universiti Awam di Malaysia. Majlis ini bermesyuarat sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan perpustakaan. Isu-isu yang dibincangkan dalam platfom ini adalah berkaitan dengan pembangunan, pengurusan dan perkongsian ilmu; pengurusan perkhidmatan maklumat dan rangkaian; pembangunan modal insan dan lain-lain.

2.0 Objektif
1. Menjadi peneraju utama di dalam penyediaan, perkongsian dan perkhidmatan sumber maklumat ilmiah di dalam dan luar negara.
2. Menjadi penasihat dalam menggubal dasar, halatuju, standard yang berkaitan dengan pembangunan perpustakaan universiti awam di Malaysia.
3. Merancang dan menyelaras program pembangunan modal insan dalam bidang kepustakawanan akademik.
4. Berperanan untuk menasihati IPT, JPT, JPA, SPA dan lain-lain pihak berkepentingan dalam membantu menyediakan perancangan dalam bidang kepustakawanan dan prasarana ilmu.
5. Mewakili universiti dan badan profesional dalam dan luar negara berkenaan bidang kepustakawanan.
6. Meningkatkan kerjasama dan perkongsian sumber maklumat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

3.0 Garis Panduan Kerjasama Dengan Pihak Lain
1. Merancang dan menggubal garis panduan kerjasama dengan pihak lain.
2. Merancang dan melaksanakan MoU dengan organisasi lain.

4.0 Keahlian
Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

5.0 Urus Setia
5.1 Penaung
Kementerian Pendidikan Malaysia
5.2 Pengerusi Mesyuarat
1. Pengerusi dilantik oleh ahli Mesyuarat.
2. Tempoh perkhidmatan selama dua tahun.
5.3 Setiausaha
Setiausaha dilantik oleh Pengerusi dan dipersetujui oleh ahli mesyuarat.
5.4 Tempat Mesyuarat
Secara bergilir dalam kalangan ahli MKP.
5.5 Kekerapan Mesyuarat
Empat kali setahun (Suku tahun)
5.6 Peranan Urus Setia
1. Memanggil mesyuarat sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum mesyuarat melalui e-mel dan faks. Urus Setia memastikan setiap e-mel panggilan mesyuarat diterima oleh ahli. Urus Setia perlu memastikan pengesahan kehadiran mesyuarat.
2. Menyediakan dan mengedarkan Deraf Minit Mesyuarat dalam tempoh tujuh (7) hari selepas tarikh mesyuarat.
3. Mendapatkan maklum balas semakan Deraf Minit Mesyuarat daripada ahli satu (1) minggu selepas Deraf Minit Mesyuarat diedarkan.
4. Menyediakan Agenda Mesyuarat dan Memorandum Perlaksanaan.
5. Menguruskan persiapan dan persediaan mesyuarat dengan tuan rumah bagi mesyuarat yang akan diadakan.
6. Minit Mesyuarat MKP perlu dihantar kepada Naib Canselor & Rektor Universiti selepas mendapat maklum balas dari semua ahli.
7. Petikan minit mesyuarat bagi isu-isu kritikal perlu diangkat ke Jawatankuasa Naib Canselor & Rektor Universiti dan JPT.

6.0 Penubuhan Jawatankuasa Pelaksana
1. Mesyuarat boleh menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana (melantik Pengerusi dan ahli-ahli mesyuarat) bagi melaksanakan sesuatu tugasan.
2. Jawatankuasa Pelaksana berkenaan perlu membentangkan tugasan masing-masing mengikut tempoh yang ditetapkan semasa mesyuarat.

Disediakan oleh:
Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam
23 Februari 2015