049283636
urusetiamkp@gmail.com

Antara universiti awam dan swasta

Majlis Ketua Pustakawan > Berita > Antara universiti awam dan swasta

Rencana | SEJAK 1990-an Malaysia telah mengamalkan dasar pengajian tinggi terbuka apabila universiti bukan sahaja milik kerajaan, tetapi boleh dimiliki oleh individu atau syarikat. Mengimbau penghujung 1960-an, selain Universiti Malaya (UM), kerajaan mewujudkan dua universiti baharu iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beberapa tahun berikutnya, dua kolej teknikal pula diangkat statusnya menjadi universiti penuh, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kelima-lima Universiti Awam (UA) ini telah melalui tradisi panjang pembentukan institusi pe­ngajian tinggi mengikut norma universal iaitu pusat penjanaan ilmu dan pendidikan tinggi bagi menghasilkan warganegara berilmu. Tumpuan diberikan kepada pembangunan ahli akademik (malim) berijazah PhD yang bakal menjadi pemimpin pelbagai bidang ilmu di peringkat kebangsaan dan global. Mewujudkan program pengajian berasaskan kekuatan atau fokus universiti bagi mewujudkan ilmuwan (komuniti pemikir) dan sumber insan mahir (peneraju agensi kerajaan dan swasta).

Transformasi pendidikan tinggi tahun 1990-an dan 2000 telah mewujudkan senario baharu apabila pendidikan tinggi tidak lagi dilihat sebagai gedung ilmu, tetapi pusat yang membuka ruang kepada falsafah ‘pendidikan tinggi untuk semua’. Ini meliputi dasar berkaitan semua warga boleh mempunyai akses kepada penga­jian tinggi, pengajian tinggi menjadi pusat latihan kemahiran untuk mewujudkan tenaga mahir (ikhtisas dan separuh ikhtisas), dan universiti boleh dimiliki oleh institusi swasta. Dasar terbuka kerajaan terhadap akses pendidikan tinggi negara me­nyaksikan pertambahan bilang­an universiti swasta yang signifikan. Sejak itu bercambahlah universiti swasta di negara ini, bagaikan cen­dawan tumbuh selepas hujan.
 Sejak itu dua bentuk universiti ini, UA dan universiti swasta telah memba­ngun dengan hala tuju dan strategi masing-masing. Kelima-lima UA di atas telah diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan (UP) iaitu universiti yang memberikan tumpuan kepada penyelidikan fundamental bagi memperba­nyakkan sarjana (ilmuwan) dan penyelidikan gunaan/pemba­ngu­nan untuk memperkasa kemajuan teknologi tinggi negara. Matlamatnya untuk menjadi UA berwibawa, dihormati dan bertaraf global. Semua UP ini sedang berstrategi untuk menjadi 200 universiti terkemuka di dunia.

Pada peringkat awal, kebanyak­an universiti swasta khususnya yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, mendapat bantuan kepim­pinan dan tenaga pengajar dari UA. Mereka pada prinsipnya memberikan tumpuan kepada komponen pendidikan tinggi iaitu menghasilkan tenaga mahir untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan ikhtisas. Hari ini, keduduk­an universiti swasta sudah semakin mantap, tenaga akademik tetapnya mulai berkembang. Kemasukan banyak cawangan universiti terkemuka luar negara sebagai universiti swasta mula me­ningkatkan imej positif pendidikan tinggi swasta. Kerajaan juga mula menawarkan geran penyelidikan fundamental kepada universiti swasta untuk merancakkan lagi bidang penyelidikan negara sejak lima tahun kebelakangan ini.

Sejak sedekad terakhir ini, banyak suara sumbang kononnya universiti swasta di Malaysia lebih maju dan berkualiti, bukan hanya setan­ding dengan UA waima le­bih baik dalam serba-serbi. Baru-baru ini, di muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, beberapa tokoh pendidik peringkat sekolah dan peneraju universiti swasta, tanpa segan silu, tanpa bukti kukuh berhujah UA sema­kin merosot, dan cara terbaik untuk menyelamatkannya adalah mengubah UA kepada universiti swasta. Satu penghujahan yang dang­kal dan tidak berpijak di bumi nyata, didorong oleh unsur perniagaan semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat dan bakal pelajar agar memilih universiti swasta!

Pada masa ini, UA dan universiti swasta mempunyai peranan berbeza untuk menyokong dasar pendidikan tinggi negara. Kedua-duanya bersifat saling menyokong dan bantu-membantu, demi kemajuan dan kecemerlangan pembinaan tamadun negara berilmu. Pada masa ini permintaan untuk me­nuntut di UA jauh melampaui tempat yang mampu disediakan, dan pastinya sebahagian yang tidak mendapat tempat di UA boleh memilih untuk belajar universiti swasta. universiti swasta juga boleh mengembangkan pelbagai program bersifat menyediakan tenaga kerja mahir untuk pembangunan negara.

Masyarakat sering diberikan gambaran, kualiti dan kecemerlangan institusi pengajian tinggi terletak kepada kebolehpasaran graduan dan keupayaan untuk menjana pendapatan sendiri. Ini adalah kecemerlangan pengurus­an, tetapi pastinya bukan kecemerlangan akademik! Pada prinsipnya, sama ada UA atau universiti swasta di peringkat kebangsaan dan global, pengukur kecemerlangan akademik berkaitan dengan enam komponen berikut:

a) Kecemerlangan ahli akademik – meliputi jumlah akademik yang berijazah PhD dan dilantik sebagai Profesor. Lebih penting jika sebahagian daripada sarjana (malim) diiktiraf kewibawaannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

b) Kecemerlangan perkongsian ‘ilmu baharu’ – universiti berkongsi ilmu baharu yang dise­barkan melalui penerbitan terindeks dan berimpak. Jumlah penerbitan ilmuwan oleh ahli akademik menjadi asas kecemerlangan kesarjanaan sesebuah universiti;

c) Kecemerlangan menjana kewangan untuk penyelidikan – keupayaan menjana dana penyelidikan fundamental, gunaan, serta impak yang dijana kepada masyarakat melalui pemindahan ilmu dan pembangunan menunjukkan kewibawaan dan kepercayaan masyarakat terhadap ahli akademik dan universitinya;

d) Keupayaan menarik pelajar cemerlang – universiti yang cemerlang berupaya menarik pelajar terbaik untuk mengikuti program pengajian yang disajikan. Syarat kemasukan sangat tinggi, dan perlumbaan untuk diterima cukup kompetitif;

e) Kecemerlangan pengaruh dasar dan inovasi sosial – kesarjanaan dan kepakaran sebuah universiti telah berjaya diterjemahkan kepada dasar pembangunan negara dan pemikiran global. Universiti menjadi pemimpin yang mendahului zaman; dan

f) Graduan menjadi rebutan majikan berkualiti – komuniti, kerajaan dan swasta menunggu dan mencari calon sumber manusianya dari universiti yang diiktiraf kecemerlangannya.

Marilah kita menilai keduduk­an kecemerlangan UA dan universiti swasta di negara kita berasaskan kayu ukur di atas, dan terus memperbaiki diri untuk cemerlang bersama. Kedua-duanya adalah sistem pendidikan tinggi kita, marilah sama-sama menjadi pemacu masa depan keilmuan negara.

Prof. Emeritus Datuk DR. Ibrahim Komoo ialah Ahli Majlis Profesor Negara (MPN) dan Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Negara.

Leave a Reply